Thursday, March 19, 2015

Keperluan Kump Sokongan Ibubapa

Autisma adalah suatu kecacatan seumur hidup yang memerlukan penjagaan yang menuntut masa dan tenaga yang banyak dan kos yang tinggi. Ibu bapa anak-anak autis menghadapi kesusahan dan cabaran yang hebat di dalam membesarkan anak-anak mereka. Anak-anak autis yang menginjaki usia remaja perlu dilatih dengan kemahiran kendiri dan kemahiran vokasional supaya mereka dapat hidup berdikari kerana ibu bapa mereka yang juga semakin tua dan tenaga mereka semakin berkurangan untuk terus memberikan remaja-remaja autis ini penjagaan sepenuh masa.
         Mandat untuk menyediakan  perkhidmatan pendidikan khas di Malaysia termaktub di dalam Akta Pendidikan 1996 dan Akta Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997. Walaubagaimana pun, hanya kanak-kanak yang mengalami kecacatan ringan diterima masuk belajar di sekolah-sekolah kerajaan. Akta Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 menyebut:
      “   Only children with disabilities “who are educable” are eligible for special education. (Regulation 3(1))”
  Klausa pelajar-pelajar yang “educable” ini bermaksud kanak-kanak yang mampu ke tandas dan mampu menguruskan diri sendiri(Chapman,2004). Bagi kanak-kanak yang tidak diterima di sekolah-sekolah kerajaan, mereka dirujuk kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah bidang kuasa Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat. Walaubagaimana pun, pada tahun 2005, terdapat hanya 313 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara yang dapat menampung hanya 8,453 kanak-kanak yang mempunyai pelbagai kecacatan (Economic Planning Unit, 2006). Dengan senario sebegini di Malaysia, ibu bapa dan badan-badan bukan kerajaan terpaksa mengambil inisiatif untuk menubuhkan pusat-pusat latihan untuk anak-anak autis di negara ini.
         Menurut The National Center on Birth Defects and Developmental Disabilities of U. S. (NCBDDD),anggaran perbelanjaan pendidikan khas untuk kanak-kanak autis adalah di antara USD8,000 dan USD30,000 setahun. Manakala anggaran untuk program berasrama adalah di antara USD80,000 – USD100,000 setahun. Maka jelaslah bahawa untuk menubuhkan sebuah pusat latihan di Malaysia bukanlah suatu perkara yang mudah. Walaubagaimana pun, projek pusat latihan remaja autis ini perlu menjadi kenyataan demi untuk menjamin masa depan yang lebih baik untuk anak-anak autis. Projek ini juga diharapkan dapat menjadi model terbaik untuk pusat-pusat latihan sepertinya di seluruh negara dengan bantuan konsultansi dari tenaga akademik Universiti Kebangsaan Malaysia, universiti perintis program pendidikan khas di Malaysia. 
Objektif penubuhan akademi ini adalah:
i.                    Membekalkan remaja-remaja autis dengan kemahiran kendiri seperti kemahiran menguruskan diri, kemahiran berinteraksi dengan persekitaran sekeliling dan kemahiran sosial.
ii.                  Membekalkan remaja-remaja autis dengan kemahiran vokasional seperti menjahit, kerja-kerja dobi, membuat roti dan pastry, kerja-kerja catering dan kerja-kerja perkhidmatan seperti mengendalikan kaunter.
iii.                Mengendalikan program”center to workplace”, iaitu mencari peluang pekerjaan yang bersesuaian untuk remaja-remaja autis ini, melatih mereka untuk menjalankan pekerjaan mereka di tempat kerja dan melatih majikan dan rakan-rakan sekerja untuk menyediakan sokongan kepada remaja-remaja autis ini.
iv.                Menjadi pusat penyelidikan untuk program latihan remaja-remaja autis melalui kerjasama dengan tenaga akademik UKM. Adalah diharapkan projek ini akan dapat menghasilkan satu modul kemahiran kendiri dan kemahiran vokasional yang efektif untuk kegunaan negara ini.
v.                  Menjadi projek rintis yang dapat meningkatkan kesedaran (awareness) kepada masyarakat  Malaysia amnya dan ibu bapa, guru-guru khususnya tentang keperluan latihan remaja-remaja autisma.
Keperluan Modal yang diperlukan:
1. Membaiki / Ubahsuai Premis/ Bangunan Menjadi pusat pembelajaran dan asrama
2. Perabut Sekolah
3. Bahan Bantuan Mengajar
4. Peralatan Dapur & Latihan Kendiri
5. Peralatan Dobi
6. Pengangkutan – Sebuah van untuk kemudahan pelajar-pelajar dan tenaga pengajar
7. Peralatan Komunikasi (Telefon, Fax, Tv)
8. Alat Tulis
9. Komputer, Fotostat, Printer
10. Kontinjensi dll. 

Jika  anda seorang pakar, pendidik, ibubapa, penderma atau sukarelawan yang ingin membantu, kami amat mengalu-alukan sokongan anda. Jika anda ingin memberi sumbangan dalam bentuk material seperti wang, meja, kerusi, komputer dan peralatan lain yang kami perlukan, segala sumbangan ikhlas anda amat kami hargai. Untuk maklumat lanjut sila hubungi melalui:
t:+6016-2626743 e: info@yayasanwibaprima.org  

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!