Wednesday, March 18, 2015

Kesedaran awal bantu tingkat kualiti hidup anak autisma

Colombo: Kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan orang ramai diiringi intervensi awal yang berkesan, dapat membantu meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak autistik, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau yang juga Penaung Program Permata untuk pendidikan awal kanak-kanak, berkata, ibu bapa perlu diberi sokongan supaya lebih bersedia meningkatkan keperluan khas untuk anak yang kemudian dapat merancang masa depan lebih baik bagi mereka.
“Kajian menunjukkan intervensi sebelum umur tiga tahun boleh membawa hasil transformatif dan boleh mengurangkan hayat-masa-kos sebanyak dua pertiga.
“Kanak-kanak membesar dengan penjagaan terbaik, dan ibu bapa memahami autisme lebih baik dan tahu di mana mendapatkan bantuan. Oleh itu, kualiti hidup tidak bergantung hanya pada asas yang disediakan semasa zaman kanak-kanak, malah memerlukan sokongan ibu bapa dan keluarga secara berterusan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada simposium autisme di sini, semalam.
Simposium ‘Mengurangkan Jurang Penyampaian Perkhidmatan untuk Autisme di Sri Lanka’ dirasmikan Wanita Pertama Sri Lanka Shiranthi Rajapaksa.
Rosmah berkata, adanya peningkatan antara 20 hingga 30 kali ganda dalam kadar penghidap autisme di seluruh dunia, dengan kanak-kanak lelaki empat kali lebih mudah menghidapinya berbanding kanak-kanak perempuan.
Beliau berkata, Gangguan Spektrum Autisme (ASD) gangguan perkembangan paling pesat berlaku, dan kurangnya perkhidmatan mengesan awal penyakit itu dan pendidikan khas boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak autisme untuk membesar menjadi individu bebas dan produktif dalam masyarakat.
Berkongsi pengalaman Malaysia dalam menyediakan intervensi awal untuk kanak-kanak autistik, Rosmah berkata, Permata menubuhkan satu pasukan teras pakar antara disiplin untuk membangunkan Permata Kurnia, iaitu Pusat Autisme Kebangsaan pertama di Malaysia.
Permata Kurnia mempunyai tiga jenis program yang membabitkan perkhidmatan sepenuh masa untuk 150 kanak-kanak autisme ringan berumur antara 4 dan 6 tahun bagi mempersiapkan mereka untuk pendidikan sekolah rendah arus perdana. Program kedua adalah rawatan untuk 150 kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun yang mempunyai tanda awal autisme, secara sesi intervensi mingguan.
Program ketiga menumpu kepada usaha mendidik orang ramai dan meningkatkan sensitiviti masyarakat ke arah menyokong keperluan individu autisme serta keperluan keluarga mereka.
Mengenai Pusat Autisme Kebangsaan di Malaysia, yang dijangka siap untuk beroperasi pada September depan, Rosmah berkata, walaupun bangunan itu belum siap dibina, Permata Kurnia menerima sambutan yang menggalakkan daripada kalangan ibu bapa.
“Memandangkan pusat itu bermula sebagai projek perintis, bilangan pendaftaran adalah terhad. Selepas terbukti kejayaannya, kita melancarkan inisiatif ini di negeri lain pula,” katanya.
Pada simposium itu, yang dihadiri 150 peserta termasuk pakar dan pegawai Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Sri Lanka, Rosmah turut berkongsi beberapa halangan utama yang perlu dihadapi Malaysia semasa menubuhkan Permata Kurnia.
Menurutnya cabaran utama adalah membina pasukan antara disiplin profesional termasuk doktor, ahli intervensi awal, pendidik khas, ahli terapi pekerjaan dan pertuturan serta profesional lain untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan paling berkesan kepada kanak-kanak autistik.
“Mereka dapat berinteraksi dan bermain dengan kanak-kanak, mendidik dan menyokong ibu bapa serta bekerjasama antara satu sama lain sebagai satu pasukan yang berkesan,” katanya.
Mengenai simposium itu, Rosmah berkata, Malaysia dan Sri Lanka berkongsi dedikasi dan komitmen membantu kanak-kanak autisme mencapai potensi optimum mereka.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Wanita Pertama Sri Lanka Shiranthi Rajapaksa di atas komitmennya membantu kanak-kanak autisme dan rabun jauh menerusi penganjuran simposium itu. Menurutnya Permata Malaysia sedia bekerjasama dengan Sri Lanka dalam menangani isu autisme yang mencabar dan rumit.
“Saya berharap pandangan saya mengenai pengalaman Malaysia memberi manfaat kepada anda semua dan dapat membantu anda merangka rancangan bagi membantu kanak-kanak autisme di Sri Lanka.
“Sebagai teman rapat, kami berasa sangat gembira bekerjasama dengan anda,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!