Wednesday, April 1, 2015

Duka anak hidap Sindrom Asperger



TIADA siapa yang mampu menyelam duka di hati apabila anak dikasihi dianggap gila. Hati mana yang tidak pedih apabila jiran sendiri menganggap mereka sekeluarga tidak layak mendiami kawasan kejiranan itu gara-gara ketidakupayaan anak yang sering disalah anggap sebagai tidak siuman.

Lantaran keadaan itu, pasangan suami isteri ini juga sering dikatakan 'tidak pandai mengajar anak', hanya kerana anak mereka tidak mampu berkomunikasi dan bersosial dengan rakan sebaya seperti remaja lain.

Tidak kurang kata-kata sinis saudara-mara terdekat yang menggelarkan anak mereka sebagai 'makhluk asing'.

Bagi pasangan Umi dan Hassan, segala pandangan serong masyarakat yang tidak memahami keadaan sebenar dialami anak bongsu mereka itu, tidak pernah merencatkan perancangan mereka untuk melihat masa depan anak yang lebih terjamin.

Ketidakupayaan penghidap sindrom Asperger memahami tatacara sosial menyebabkan mereka sering dianggap masyarakat sebagai makhluk asing.
Keputusan SPM cemerlang
Lebih memberangsangkan, anaknya, Hafifi, yang menghidap sindrom Asperger, nyata tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapanya apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
"Tidak ramai yang memahami keadaan dirinya. Malah bagi Hafifi sendiri, asalnya dia dikenal pasti menghadapi masalah Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD), tetapi pada usia 17 tahun, dia sendiri mencari punca masalahnya itu dan mengesyaki dirinya sebagai penghidap autisme jenis Asperger dengan membuat beberapa ujian dalam laman sosial untuk mengesahkannya.
"Baru-baru ini, selepas berjumpa pakar psikiatri, Hafifi disahkan menghidap Asperger dan dia dapat menerimanya dengan tenang," kata Umi ketika ditemui, baru-baru ini.
Penghidap sindrom Asperger dikategorikan sebagai penghidap autisme sederhana, yang mana antara ciri ketara penghidap sindrom ini adalah kemahiran sosial yang sangat rendah.
Sukar berkomunikasi
"Anak saya memang sukar berkomunikasi dan tidak berupaya bertembung mata apabila bercakap dengan orang lain. Hal ini menyebabkan dia digelar 'makhluk asing' oleh rakannya dan sesetengah kenalan rapat saya.
"Dia memang tidak pandai bergaul meskipun rajin bertegur sapa, malah keramahannya itu sering disalah anggap orang sekeliling yang tidak memahami keadaan dirinya," tambah Umi lagi.
Pasangan yang mempunyai tiga cahaya mata ini melakukan pelbagai usaha, termasuk bertemu dengan pakar psikiatri untuk mengenal pasti masalah itu kerana bimbang ia akan menyukarkan anaknya mendapatkan pekerjaan pada masa akan datang meskipun cemerlang dalam pembelajaran.

Penghidap sindrom Asperger biasanya bijak berkata-kata, tumbesaran sempurna dan kadangkala lebih bijak daripada individu normal yang lain.
Terapi komunikasi
Hafifi gemar membaca bahan ilmiah dan menonton rancangan berbahasa Inggeris serta apa saja berkaitan dengan sains.
Beliau kini mengikuti program A-Level di Kolej Pendidikan Antarabangsa (INTEC), Shah Alam bagi menyambung pelajaran ke United Kingdom.
"Tidak dinafikan beliau masih mengalami kesukaran untuk bersosial seperti remaja lain, namun dengan terapi komunikasi dan kemahiran sosial yang sedang diterimanya ketika ini, kami berharap dapat membantunya ketika di luar negara nanti," katanya.
'Bukan penyakit tetapi gangguan interaksi sosial'
Mereka bijak berkata-kata, tumbesaran sempurna dan kadangkala lebih cemerlang daripada individu normal yang lain, tetapi mereka ini tidak pandai bergaul dan gemar membuat kerja yang sama berulang kali.
Bukan itu saja, mereka juga mempunyai obsesi yang keterlaluan kepada sesuatu seperti suka mengumpul sejenis barangan dan pantang saja melihat barangan itu, mereka pasti akan mendapatkannya.
Bagi sesetengah orang, ia tidak menjadi masalah kerana pada pandangan mata kasar kelompok seperti ini sihat secara luaran, namun hakikatnya mereka mengalami gangguan neurobiologi dikenali sebagai sindrom Asperger.
Ada yang beranggapan, sindrom Asperger adalah satu penyakit yang berkaitan dengan masalah mental. Fakta sebenar, sindrom Asperger bukan penyakit sebaliknya gangguan dalam tumbesaran yang menjejaskan interaksi sosial.

Sindrom Asperger bukan penyakit berkaitan masalah mental, sebaliknya gangguan dalam tumbesaran yang menjejaskan interaksi sosial.
Tertekan, murung
Dalam dunia yang kebanyakan penghuninya sihat dan normal, penghidap sindrom Asperger kerap kali tidak difahami hingga kadang-kala membuat mereka tertekan dan murung.
Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dr Abdul Jalil Hassan (gambar) berkata ada banyak kes kanak-kanak sindrom Asperger dianggap ganjil dan mengganggu tumpuan dalam kelas.
Beliau berkata, mereka diasingkan hingga menyebabkan mereka tertekan. Kegagalan guru dan rakan memahami mereka menambah lagi beban. Malah, beliau pernah berhadapan dengan remaja sindrom Asperger yang cuba membunuh diri.
"Selalunya kanak-kanak sindrom Aspeger hanya dikesan apabila masuk sekolah, pada usia antara tujuh tahun hingga sembilan tahun. Guru atau kawan melihat mereka sebagai pelik kerana suka bersendirian selain mengagumi sesuatu secara keterlaluan," katanya.
Dr Jalil berkata, sindrom Asperger cenderung dialami kanak-kanak lelaki dan ia termasuk satu daripada lima masalah dalam kumpulan gangguan tumbesaran dikenali sebagai pervasive developmental disorder (PDD), yang dicirikan dengan kelewatan pembangunan fungsi asas sosial dan komunikasi. Selain sindrom Asperger, masalah lain dalam PDD adalah autisme dan sindrom rett.





Penghidap sindrom Asperger kerap kali tidak difahami masyarakat sehingga menyebabkan mereka murung dan tertekan, malah ada yang cuba membunuh diri.
Tidak pandai bergaul
Jelas Dr Jalil, kanak-kanak yang mengalami sindrom Asperger tiada masalah dari segi pertuturan, tetapi bermasalah dari segi interaksi sosial dan tingkah laku. Misalnya, kalau mereka tinggal di pusat asuhan, mereka tidak bergaul. Mereka juga 'cakap lepas' kerana tidak tahu mengenai peraturan sosial.
Apabila bercakap, kanak-kanak sindrom Asperger ini akan bercakap sama ada terlalu laju atau perlahan, intonasinya tidak betul, tiada hubungan mata (eye contact) dan tiada ekspresi wajah selain ada kalanya kelam-kabut.
Semua simptom ini boleh terjadi dalam lingkungan paling sedikit hingga paling serius. Daya intelek mereka normal dan ada kalanya melebihi kanak-kanak normal.
Adakalanya kerana terlalu obses pada sesuatu perkara (misalnya seni lukis) mereka akan menjadi pelukis yang sangat hebat.
"Sindrom Asperger selalunya ada kaitan dengan 'keturunan' (traits) autisme terutama dari segi kemahiran sosial yang lemah. Mereka cenderung melakukan rutin yang sama setiap hari. Apa yang membezakannya dengan kanak-kanak autisme adalah keupayaan mereka bercakap sama seperti kanak-kanak normal," katanya.
Beliau berkata, punca sebenar sindrom Asperger tidak diketahui, namun ia cenderung berlaku dalam keluarga yang sama.
INFO:
Simptom
- Jika berbual, asyik dia saja yang bercakap tanpa mempedulikan orang lain yang ingin bercakap.
- Jika bercakap, bahasa tubuhnya tidak kena, tiada hubungan mata dan tiada ekspresi wajah.
- Terlalu mengagumi sesuatu, misalnya pisau, melihat air menitik, menghafal jadual perjalanan kereta api, mengingati nama jalan atau mengumpul batu.
- Ekspresi wajah keras, tidak memahami, tiada simpati dan tidak sensitif pada perasaan orang lain.
- Sukar menelah ekspresi atau mood orang lain dan sukar memahami jenaka atau usikan orang keliling.
- Bercakap dengan suara mendatar, laju atau perlahan dengan intonasi yang salah.
- Kelam-kabut
Rawatan
Sindrom Asperger adalah masalah seumur hidup.
Rawatan yang dijalankan adalah dengan mengawal dan memberi terapi kepada kanak-kanak ini untuk berhadapan dengan dunia yang normal.
Rawatan yang dijalankan adalah dengan mengawal dan memberi terapi kepada kanak-kanak ini untuk berhadapan dengan dunia yang normal.
Komunikasi dan kemahiran sosial
Mereka perlu diberitahu secara terus terang mengenai peraturan sosial dalam komunikasi dan pergaulan. Untuk bercakap dengan betul, mereka perlu diajar ritma, teknik, hubungan mata dan nada yang sesuai untuk berjenaka, menyindir dan berbual biasa.
Terapi tingkah laku kognitif
Mereka juga diajar teknik mengawal tingkah laku, minat yang keterlaluan, mengawal kemarahan dan kerisauan. Selalunya terapi ini akan mengajar mereka mengenal situasi yang boleh mengundang masalah dan bagaimana mahu menanganinya.
Ubat
Tiada ubat khusus untuk sindrom Asperger dan ia bergantung kepada doktor yang merawat kanak-kanak itu.

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!