Thursday, June 18, 2015

Kesedaran autisma

Tahukah kita semua bahawa bulan April setiap tahun adalah merupakan Bulan Kesedaran Autisme? Dari segi sejarahnya, inisiatif ini telah dimulakan secara bersama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan sebuah persatuan kebangsaan autisme di Amerika Syarikat yang telah mengiktiraf bulan ini sebagai satu bulan yang khusus memfokuskan topik autisme semenjak dari tahun 1970 lagi. Senarionya ialah ia telah menjadi satu sambutan di peringkat global dan disambut di mana-mana sahaja di seluruh dunia, termasuklah di negara kita sendiri. Namun bagi sesetengah masyarakat di negara ini, ia mungkin sesuatu yang amat asing dan tidak pernah didengari sama sekali sebelum ini. Namun ketahuilah bahawa kes berkaitan autisme semakin meningkat saban hari dan tahun di serata dunia, termasuklah negara Malaysia.

Berhubung insiden ini, pada tahun 2004, data yang ada di negara maju seperti Amerika Syarikat menunjukkan dalam setiap 10,000 orang kanak-kanak, di antara 1 hingga 20 dari mereka adalah penghidap autisme. Data terkini menunjukkan dalam setiap 1, 000 orang kanak-kanak, antara 2 hingga 7 orang adalah penghidap autisme. Manakala di negara Eropah pula, dalam setiap 1, 000 orang kanak-kanak, 12 orang adalah penghidap autisme. Di negara Malaysia pula, adalah dianggarkan oleh NASOM (Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia di peringkat NGO) bahawa terdapat sekurang-kurangnya 47, 000 orang kanak-kanak yang menghidapi autisme sehingga kini.

Bagi memahami hakikat sebenar, terdapat beberapa perkara dan isu yang berkaitan dengan autisme di sebalik kewujudan bulan April sebagai bulan kesedaran autisme. Apa yang masyarakat perlu miliki ialah tahap kesedaran yang tinggi terhadap autisme, memahami apakah keperluan yang berkaitan yang perlu dikuasai oleh individu autisme, serta mengetahui apa yang boleh mereka lakukan untuk memperbaiki kehidupan dan meningkatkan potensi individu yang memiliki ciri-ciri autisme. Mereka juga perlu menyedari bahawa autisme adalah sebahagian daripada kehidupan mereka dan menerima ia sebagai satu anugerah dan kurnia dari Tuhan. Pemahaman yang tepat akan mendorong penerimaan dengan hati terbuka dan menghalang sikap diskriminasi, stigma dan penyisihan dalam masyarakat.

Autisme adalah merupakan sejenis gangguan perkembangan saraf otak yang berlaku di kalangan individu manusia yang bermula seawal usia antara 1 hinggsa 3 tahun dan diklasifikasikan sebagai gangguan neuropsikiatri. Autisme, seperti juga Asperger, adalah sebahagian daripada beberapa gugusan gangguan yang lebik kompleks lagi dikenali sebagai Autisme Spectrum Disorder atau ASD. Gangguan ini telah mula mendapat perhatian dalam dunia sains perubatan sejak pada tahun 1943 apabila seorang pakar psikiatri kanak-kanak dari negara Austria yang dikenali sebagai Leo Kanner telah cuba memberi satu diagnosis dan rawatan terhadap masalah berkaitan perkembangan tingkahlaku dan komunikasi di kalangan pesakit kanak-kanak.

Secara umumnya, autisme ini dapat dikenali berdasarkan kepada beberapa kriteria yang paling utama seperti gangguan pada fungsi komunikasi dan pertuturan serta ada masalah dalam interaksi sosial, memiliki kesukaran dalam mentafsir reaksi emosi, gangguan pemikiran serta memiliki ciri-ciri spektrum tingkahlaku dan perangai yang amat terhad, dan berulang-ulang atau streotype. Mereka akan dianggap sebagai seseorang yang terasing atau hidup dalam dunia mereka yang tersendiri. Seterusnya, di kalangan mereka juga mempunyai tahap atau darjah keterukan yang tersendiri dan berbeza dengan individu lain walaupun masih dalam kategori autisme. Di kalangan mereka, ada yang mempunyai tahap autisme yang teruk, sederhana ataupun ringan. Oleh yang demikian, terdapat di kalangan mereka yang masih boleh bersekolah dan menjadi golongan terpelajar, seterusnya berkerjaya dan juga berkeluarga. Dari segi fizikal pula, mereka tiada sebarang masalah, malah masih kelihatan normal, sama seperti kanak-kanak normal yang lain. Maka itu, masyarakat umum tidak akan nampak wujudnya sebarang kelainan atau kecacatan pada diri mereka.

Keadaan ini pada akhirnya akan menambahkan kerumitan, bukan sahaja kepada penghidap, tetapi juga kepada ibubapa dan keluarga serta anggota masyarakat yang lain. Kerumitan yang ada akan menyebabkan kekeliruan, malah mereka yang tidak memahami akan terus menganggap si penghidap sebagai seorang yang degil, pemalas, lembab dan sebagainya. Seterusnya, ia akan menyebabkan si penghidap terbiar tanpa sebarang usaha untuk dirujuk kepada golongan pakar bagi tujuan rawatan dan intervensi yang sewajarnya. Akhirnya, mereka akan berterusan ketinggalan dalam dunia mereka yang penuh kekeliruan dan keterasingan. Lebih malang apabila mereka mula memasuki alam persekolahan. Ada di antara penghidap yang keliru mengapa mereka perlu pergi ke sekolah. Keadaan menjadi bertambah parah apabila diri mereka turut tidak difahami warga sekolah, tidak diterima dan akhirnya disisihkan.

Di samping itu, isu utama berkaitan autisme setelah memahami ciri-ciri dan keupayaan mereka ialah mengenalpasti segala bentuk keperluan mereka dan seterusnya melaksanakan agar keperluan mereka dapat dicapai. Individu yang memiliki ciri-ciri autisme sebenarnya adalah golongan individu yang mempunyai pelbagai keperluan yang khusus dan tersendiri. Ini bergantung kepada tahap perkembangan dan kesukaran yang mereka miliki. Oleh itu, ibubapa, keluarga dan masyarakat perlu memahami bahawa individu ini juga berhak untuk menerima pelajaran dan latihan yang bersesuaian agar mereka akan menjadi lebih berdikari nanti. Bagi memenuhi keperluan ini, satu kaedah pendidikan yang sistematik untuk mereka perlu diwujudkan, khususnya di peringkat kementerian dan kebangsaan. Memang betul kini telah ada sistem pendidikan khas dalam kementerian, tetapi kesesuaian dan keberkesanannya untuk golongan ini perlu dikaji.

Golongan istimewa dari kategori autisme ini bukan sahaja memerlukan pendidikan akademik, tetapi juga pendidikan yang mengajar mereka kemahiran untuk berkomunikasi dan bersosial dengan cara yang sepatutnya. Itulah keperluan mereka yang perlu digilap kerana penyakit autisme yang mereka alami amat menyukarkan  mereka untuk berkomunikasi dan berinteraksi secara sosial. Namun masalah yang ada ialah apabila sistem persekolahan lebih menumpukan kepada aspek akademik sahaja. Hakikatnya memang itulah matlamat persekolahan sejak dulu lagi, namun kewujudan bahagian pelajaran khas dalam kementerian dan di sekolah boleh dan amat perlu untuk dipertingkatkan lagi bagi memenuhi keperluan golongan individu autisme. Sudahkah kajian keberkesanan pendidikan khas berkaitan autisme ini dilakukan oleh pihak berkaitan dan jika ada apakah hasilnya? Masyarakat, khususnya para ibubapa amat memerlukan hasil dan dapatan kajian seperti itu.

Begitu juga, satu jawatankuasa, agensi atau jabatan di peringkat kementerian dan pemerintah yang berkaitan khusus bagi mengemaskini dan memantau kebajikan bagi individu autisme perlu diwujudkan. Ia boleh bertindak dalam menganalisa keperluan pendidikan dan latihan serta kerjaya, kebajikan, maklumat terkini berkaitan kajian dan penyelidikan serta kemaskini pengkalan data untuk kemaslahatan mereka dapat dilakukan secara sistematik, yang mana ia belum lagi wujud buat masa ini.


Sumber - IKIM

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!