Tuesday, June 2, 2015

Tekanan urus anak kurang upaya

KAJIAN terhadap ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa atau dalam golongan orang kurang upaya (OKU), mendapati mereka mengalami tahap stres yang lebih tinggi jika berbanding ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang normal perkembangannya.

Antara penyebab stres adalah berkaitan keperluan pengurusan anak yang tinggi serta kekurangan perkhidmatan dan sokongan. Perkhidmatan dan sokongan untuk kanak-kanak OKU di Malaysia dikatakan jauh ketinggalan berbanding perkhidmatan dan sokongan di negara-negara maju.

Hal ini mendatangkan cabaran yang sangat hebat kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU di negara ini.

Justeru itu, satu sesi perkongsian kajian kes yang dihadapi oleh ibu bapa ini telah diadakan dalam sesi perbincangan Siri Wacana Tun Fatimah Hashim bertajuk Evolusi Ibu Adi Wira: Cabaran Membesarkan Anak Kurang Upaya yang dianjurkan oleh Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Pengarah PERMATA Kurnia, iaitu Pusat Autisme Kebangsaan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, perkongsian ini menceritakan mengenai cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa bagi mendapatkan perkhidmatan untuk anak-anak mereka dan sokongan untuk diri sendiri.

Katanya, sesi ini juga berkongsi beberapa kajian kes di mana ibu bapa sendiri terpaksa membangunkan perkhidmatan-perkhidmatan yang tidak tersedia untuk anak-anak mereka.
Menurut Dr. Hasnah, kajian yang dilakukan terhadap tiga ibu yang mempunyai anak autisme, mereka terpaksa berusaha sendiri bagi memberikan pendidikan supaya anak-anak mereka boleh berdikari dan menguruskan diri sendiri.

Tambahnya, yang memberikan contoh Siti Khadijah Mohd Zamin, seorang juru ukur yang meletakkan jawatan kerana mahu memberi tumpuan kepada anaknya yang merupakan anak autisme boleh dianggap sebagai adiwira.

“Siti Khadijah menubuhkan Akademi Remaja Islam (Arisma) kerana mahukan anak-anak kekurangan upaya ini atau autisme boleh berdikari dan menguruskan diri sendiri.

“Dengan itu, ibu bapa tidak perlu lagi menyediakan pembantu rumah untuk memandikan mereka, menyuapkan makanan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya perbelanjaan sebanyak RM800 untuk menggaji pembantu rumah dapat dijimatkan.

“Pendidikan di Malaysia memberikan satu tekanan kepada ibu dan anak-anak ini kerana sekolah lebih mementingkan ‘A’ dan anak-anak yang tidak mencapai kecemerlangan dalam pendidikan akademik dianggap sebagai ketinggalan.

“Sebenarnya kanak-kanak ini boleh diajar dengan kemahiran lain seperti ilmu memasak, mendobi, berkebun, kerja seni dan sebagainya. Bagaimanapun ilmu-ilmu ini tidak diajar di sekolah dan kanak-kanak ini akan terus ketinggalan jika tiada pihak yang memikirkan mengenai masa depan mereka.

“Pendidikan adalah satu bidang yang besar. Memasak, dobi dan sebagainya juga adalah satu ilmu. Kanak-kanak ini boleh juga berjaya jika diberikan pendidikan dalam ilmu tertentu daripada peringkat awal lagi.

“Seorang lagi ibu, iaitu Noradilah Abdullah yang juga guru, mempunyai seorang anak lelaki yang merupakan kanak-kanak autisme telah menghantar anaknya ke sekolah pendidikan khas.

“Bagaimanapun dia berasakan pendidikan yang diberikan tidak mencukupi dan memikirkan sesuatu perlu dilakukan bagi memberikan pendidikan yang lebih daripada itu.

“Oleh itu dia mewujudkan kumpulan sokongan ibu bapa bagi mereka yang mempunyai anak kekurangan upaya dengan mengadakan aktiviti-aktiviti seperti belajar dan membawa mereka keluar bagi mengenali suasana sekeliling.

“Tugas dan tanggungjawabnya memang berat. Pagi menghantar anak ke sekolah, tengah hari balik untuk memasak dan sebagainya. Namun siapa yang boleh membuat semua ini jika bukan dia sendiri,” kata Dr. Hasnah yang juga bekas Ketua Penyelidik Makmal Autisme di Fakulti Pendidikan UKM.

Tambahnya, bagi seorang lagi ibu, Zaharatul Sophia yang juga mempunyai anak autisme, apa yang dibimbangkan ialah kurangnya didikan agama kepada anak-anak ini.
Semasa anak-anak ini kecil, ibu bapa sentiasa sibuk dengan pendidikan ilmiah. Malangnya kerohanian mereka kosong.

Ujarnya, Zaharatul bimbang jika anak-anak ini tidak diajar dengan ilmu agama, mereka membesar tanpa mengetahui akan tanggungjawab mereka sebagai seorang Islam.
Oleh itu kata Dr. Hasnah, ibu tersebut telah memulakan kempen kesedaran dengan mengajar anak-anak autisme ini cara mengambil wuduk, bersolat, berpuasa dan sebagainya.

Dalam pada itu Dr. Hasnah sendiri menceburkan diri dalam bidang Pendidikan Khas selepas anak sulungnya didiagnos mengalami autisme.

Bidang penyelidikannya termasuklah kaedah berkesan mendidik anak-anak yang mengalami autisme, penaksiran berasaskan kurikulum, saringan dan sokongan keluarga.
Antara penerbitan beliau termasuklah modul-modul pengajaran menulis, literasi, numerasi dan adaptif untuk anak-anak yang mengalami autisme.

Beliau kini giat melatih kakitangan yang akan berkhidmat di Pusat PERMATA Kurnia yang akan beroperasi pada bulan Oktober ini di Sentul, Kuala Lumpur.

Selain daripada menyediakan perkhidmatan kepada 300 orang kanak-kanak yang mengalami autisme, PERMATA Kurnia juga menyediakan latihan dan pendidikan kepada guru-guru, ibu bapa dan komuniti mengenai autisme. - Gambar SAIFUL BAHRI
- See more at: http://m.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/tekanan-urus-anak-kurang-upaya-1.91692#sthash

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!