Wednesday, November 18, 2015

Jadi usahawan bermula RM1000

Di Malaysia, kepesatan ekonomi negara yang semakin berkembang, memberi impak yang sangat positif kepada usahawan kecil dan besar. Banyak peluang perniagaan boleh diceburi, dan masyarakat juga tidak terlalu berkira untuk berbelanja. Memiliki perniagaan sendiri dilihat sebagai salah satu cara yang paling mudah untuk menaikkan taraf hidup seseorang itu. Bagi mereka yang tiada pengalaman dalam perniagaan namun berminat membuka perniagaan sendiri, sebaik-baiknya pilihlah perniagaan yang memerlukan modal yang kecil.
Pernah seorang sahabat mengajukan saya soalan sebegini:
“Bisnes apa yang boleh dibuat, jika hanya ada RM 1,000 dalam saku?”
[auth]
Otak saya ligat mencari jawapan yang sesuai. Pada fikiran saya, mungkin tidak banyak perniagaan yang boleh diceburi. Kalau boleh, saya hanya akan menjawab ringkas: simpan sahaja wang itu dalam ASB agar dapat keuntungan tahunan. Tiada risiko kerugian dalam perniagaan. Namun, sebagai seorang sahabat saya ingin memberi suntikan semangat kepadanya. Lantas saya teringat akan beberapa jenis perniagaan yang diceburi usahawan kecil yang mampu untuk memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan dan mendapat keuntungan bulanan yang lumayan.
Perniagaan Pencetakan dan Jualan Cenderahati
Perniagaan pencetakan mungkin merupakan salah satu contoh perniagaan yang boleh memberi keuntungan yang lumayan. Ada kalanya mencecah antara 50% sehingga 300%. Bila menyebut perihal perniagaan pencetakan, umum mengetahui yang ia tidak hanya terhad kepada T-Shirt, malahan pencetakan kad perkahwinan, bunting, kad nama atau dokumen bisnes sentiasa mendapat sambutan.
Selain daripada bakal mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda, usahawan juga boleh memulakan perniagaan tanpa perlu modal yang besar atau terpaksa membuka premis perniagaan. Kebanyakan usahawan pencetakan ini bekerja dari rumah dan melakukannya secara sambilan. Daripada aspek potensi perniagaan pula, permintaan pelanggan sentiasa ada. Ada kalanya pelanggan ini datang secara bermusim, contohnya pada musim cuti persekolahan, ramai yang memerlukan khidmat mencetak kad kahwin. Sudah tentu setiap satu pesanan adalah dalam kuantiti yang banyak lantas menghasilkan keuntungan yang lebih tinggi .
Ada juga usahawan kecil yang berminat untuk menyediakan khidmat membuat button badge.  Bermodalkan kurang daripada RM 1,000 usahawan tadi sudah boleh membeli peralatan yang diperlukan untuk memulakan perniagaan button badge mereka. Bisnes button badge ini memang menguntungkan. Bayangkan harga kos untuk membuat seunit badge ini tadi tidak sampai 50 sen, dan ada antara usahawan yang mengenakan harga setinggi RM3.80 untuk seunit badge!
Bagi mereka yang kreatif, tentu sekali boleh menggabungkan kreativiti mereka dan kepakaran yang ada dalam bidang pencetakan dan seterusnya menceburi bidang jualan cenderahati pula. Cenderahati yang unik dan menarik memang menjadi pilihan untuk majlis korporat, majlis perkahwinan, jamuan ulang tahun atau majlis-majlis sosial yang lain.  Kebanyakan cenderahati ini akan disesuaikan mengikut tema majlis dan kehendak pelanggan.  Ada juga yang lebih berani untuk terjun ke dalam bidang perancangan majlis dengan membekalkan keperluan dekorasi dan cenderahati untuk majlis-majlis sosial berukuran kecil ke sederhana.
Perniagaan Telefon Bimbit dan Aksesori Telekomunikasi
Mengikut statistik pengguna telefon bimbit yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada tahun 2012, penduduk di negara ini mencatatkan pemilikan telefon bimbit yang amat tinggi.  Malaysia mencatat penggunaan 119.2 telefon bimbit bagi setiap 100 penduduknya, berbanding negara-negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat dan Jepun, masing-masing mencatat 95.4 dan 89.9 telefon bimbit bagi setiap 100 penduduknya.
Jelas sekali industri telekomunikasi di negara kita amat berpotensi besar dan dapat menghasilkan keuntungan yang tinggi. Oleh itu, bagi mereka yang cenderung dalam bidang telekomunikasi, mungkin akan berminat untuk menjadi penjual telefon bimbit dan aksesorinya seperti kabel, pengecas, pen telefon pintar atau komputer tablet, pelindung skrin ataupun sarung telefon bimbit, ipad atau komputer tablet.
Untuk memulakan perniagaan, sebaik-baiknya usahawan tadi perlu mendalami teknik membaik pulih peralatan telekomunikasi.  Usahawan juga perlu mempelajari cara mengenal pasti sama ada aksesori yang akan dijual itu adalah tiruan atau benar-benar tulen.  Selepas itu, daftarkan perniagaan tadi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan dapatkan lesen perniagaan dari Majlis Perbandaran. Stok barangan boleh diperoleh daripada pembekal sendiri ataupun membeli secara borong dengan syarikat-syarikat perniagaan yang besar seperti yang terdapat di Low Yat. Sekiranya berminat untuk menjual kad prabayar, maka daftarkan perniagaan tadi terus dengan syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Digi, Celcom dan Maxis untuk mendapat harga promosi dan insentif yang lebih baik.
Sememangnya memulakan perniagaan aksesori telefon bimbit ini tidak memerlukan modal yang besar, namun keuntungan yang diperoleh sudah tentunya tinggi sekiranya lokasi perniagaan anda adalah strategik. Contoh kawasan yang sesuai adalah kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi terutamanya bila terdapat ramai bangsa asing, contohnya mereka yang berasal dari Indonesia, Bangladesh dan Vietnam menetap di situ. Sekiranya terdapat persaingan, maka pastikan harga barangan yang dijual adalah murah jika berbanding dengan kedai-kedai lain.
Kiosk Makanan
Terdapat syarikat-syarikat jualan makanan yang menawarkan pakej jualan makanan berkonsep mudah alih dengan harga yang berpatutan.  Usahawan berupaya menukar kiosk niaga yang mungkin hanya sebesar 1.5 meter x 1.5 meter kepada sumber pendapatan lumayan.  Kiosk mudah alih ini mudah untuk dipasang dan boleh dibuka di tempat tumpuan orang ramai seperti di pusat membeli belah, majlis keramaian, restoran, majlis katering, pasar malam, bazar atau ekspo dan juga di medan selera.
Selain tiada bayaran francais atau caj tersembunyi, perniagaan seperti ini mudah dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Ia juga menawarkan potensi keuntungan maksimum dan keperluan tenaga kerja yang minimum. Ada juga antara syarikat-syarikat yang menawarkan pakej permulaan perniagaan berkonsep kiosk ini. Mereka akan menawarkan latihan dan teknik memasak secara percuma untuk memastikan usahawan berkebolehan dalam mengendalikan kiosk makanan tersebut.
Perniagaan Ice Blended
Kala cuaca terik, perniagaan ice blended memang akan laris bak goreng pisang panas.  Untuk memulakan perniagaan ice blended ini, perkara pertama yang perlu diambil kira adalah peralatan yang akan digunakan seperti mesin pengisar, payung, meja kerja, serbuk perasa, bekas untuk mengisi serbuk perasa dan juga keperluan lain. Terdapat juga pakej dengan harga yang menarik ditawarkan oleh syarikat persendirian untuk mereka yang berminat.
Terdapat beberapa keistimewaan perniagaan ice blended ini, antaranya ialah perniagaan ini sangat mudah. Kurang risiko pembaziran kerana serbuk yang digunakan tidak mudah rosak atau basi.  Ice blended juga sangat mudah dijual.  Kebanyakan usahawan akan menjalankan operasi perniagaan di tempat tumpuan orang ramai seperti di sekitar kawasan sekolah, kawasan perumahan, tapak ekspo dan karnival, pasar tani dan juga pasar malam. Dibantu dengan cuaca Malaysia yang agak panas, tidak hairan jika ada usahawan ice blended yang mendapat keuntungan melebihi RM5,000 sebulan.
Perniagaan Produk Makanan
Di Malaysia, perniagaan produk makanan semakin mendapat tempat di hati masyarakat.  Bisnes jualan makanan boleh dilakukan di rumah, kedai atau pun di kiosk.  Ada juga usahawan yang menjual produk mereka di pasar tani dan pasar malam.  Di pasar raya besar juga sudah banyak yang turut membekalkan produk makanan yang halal.
Produk makanan yang sentiasa laris di pasaran terdiri daripada produk konfeksioneri seperti roti, kek dan biskut serta produk sejuk beku contohnya karipap, nugget, bebola ikan, daging atau ayam, popia, sosej, daging kisar dan pau segera.
Bagi produk konfeksioneri, usahawan boleh menerima tempahan untuk majlis keramaian ataupun upacara sambutan hari perayaan.  Ada usahawan yang bertindak lebih agresif dengan mempromosikan produk makanan mereka di pejabat atau syarikat bagi jamuan mesyuarat, sesi ceramah atau sebagai hidangan minum petang. Walau pun sesetengah pejabat atau syarikat memiliki kantin dan kafeteria mereka sendiri, namun ada kalanya mereka lebih gemar untuk mendapatkan khidmat usahawan produk makanan daripada pihak luar untuk menukar cita rasa mereka sendiri.
Untuk memulakan bisnes pembuatan produk makanan, apa yang perlu ada dalam diri usahawan adalah kemahiran untuk memproses produk, teknik pengendalian yang betul dan strategi pemasaran yang baik. Sediakan khidmat pesanan dan penghantaran produk kepada pelanggan, demi untuk menambat hati mereka. Adalah sangat penting bagi seseorang usahawan untuk memastikan setiap maklum balas daripada pelanggan dan pekerja diambil perhatian untuk mengatasi dan memperbaiki segala kelemahan yang ada.  Etika kerja dan amalan murni yang berterusan dapat menjamin perniagaan produk makanan ini agar kekal lama dalam pasaran.
Kesimpulan
Apabila berbicara perihal memulakan perniagaan dengan modal yang kecil, maka saya akan sentiasa teringat kisah pengasas Boon Siew Honda, mendiang Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew yang telah memulakan perniagaannya dengan membeli 11 unit bas dengan wang simpanannya RM 2,000. Bas ini kemudiannya dibaikinya sendiri dan dijual dengan harga RM 12,000 setiap satu.  Begitu juga dengan tokoh usahawan terkenal Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari yang memulakan perniagaan jual beli lembu dan kerbau seawal usia 19 tahun dengan hanya berbekalkan modal yang sangat kecil.
Nasihat saya, sekiranya modal kecil yang anda ada, maka mulakan dengan bisnes kecil.  Pilih bisnes yang sesuai dengan diri anda.  Jadilah seorang yang komited agar permulaan yang kecil ini boleh menjadikan anda seorang usahawan yang berjaya.

Sumber - http://www.usahawan.com/

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!