Sunday, December 20, 2015

Adakah Anak Saya Boleh Normal?

Pengenalan
Autisme berasal daripada perkataan bahasa Greek iaitu 'autos' yang bermaksud sendiri. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya sendiri. Dari sudut perubatan, autisme ialah keadaan di mana interaksi sosial seseorang terganggu akibat masalah kemahiran berkomunikasi, tingkah laku tidak wajar yang berulangan, pemencilan diri serta mempunyai keinginan terhad terhadap sesuatu benda.
Sumber : http://www.unicef.org/malaysia/health_education_8055.html

Ciri-Ciri Kanak-Kanak Autisme
Masalah autisme di kalangan kanak-kanak boleh dikesan seawal usia 18 bulan. Antara kemahiran yang mengalami gangguan akibat daripada autisme ialah;
  • Kemahiran pertuturan dan komunikasi
    • Kanak-kanak autisme mengalami kesukaran untuk memahami percakapan, bertutur dan menyatakan kehendak. Pertuturan mereka mungkin terhad kepada satu patah perkataan. Kebiasaannya mereka membuat bunyi atau perkataan yang tidak bermakna dan tidak boleh difahami (jargon). Kanak-kanak autisme juga boleh mengalami ekolalia, iaitu, pengulangan perkataan-perkataan yang dituturkan oleh orang lain.
  • Kemahiran interaksi sosial
    • Tidak menunjukkan minat untuk berinteraksi dengan individu lain merupakan ciri utama kesukaran interaksi sosial kanak-kanak autisme. Mereka sukar untuk bertentangan mata dan tidak menyahut apabila dipanggil. Kanak-kanak autisme sukar bergaul dengan kanak-kanak lain dan sering bermain sendirian.
  • Tingkah laku dan emosi
    • Tingkah laku tidak wajar serta berulangan seperti mengibas tangan dan melompat tanpa tujuan merupakan antara ciri-ciri yang terdapat pada kanak-kanak autisme. Terdapat juga kanak-kanak autisme yang mencederakan diri sendiri dengan menggigit dan menghantuk kepala ke dinding. Mereka juga boleh menunjukkan emosi seperti ketawa, menangis dan menjerit seorang diri tanpa sebab.
  • Sensori atau sentuhan fizikal
    • Terdapat kanak-kanak autisme yang sensitif kepada bunyi bising, sentuhan dan rasa. Mereka juga mungkin mempunyai tabiat menjilat, memasukkan barang dalam mulut, menggigit atau mencium sesuatu. Kebanyakan kanak-kanak autisme tidak suka disentuh, dipegang atau dipeluk. Ada juga di antara mereka yang memilih makanan kerana masalah sensori badan dan bahagian mulut.
  • Kemahiran kognitif
    • Kanak-kanak autisme sering dikaitkan dengan perkembangan kognitif yang lewat berbanding kanak-kanak usia sebaya. Kebanyakannya mempunyai tahap IQ yang lebih rendah berbanding kanak-kanak normal. Hal ini menyebabkan terdapat kanak-kanak autisme yang sukar memahami konsep-konsep tertentu terutamanya konsep abstrak seperti emosi.
  • Kemahiran bermain
    • Kanak-kanak autisme tidak memahami konsep bermain secara betul. Mereka sering membaling mainan, memasukkan mainan ke dalam mulut dan kadang-kala merosakkannya. Mereka mempunyai minat yang terhad kepada alat mainan dan sering bermain dengan mainan yang sama berulang kali.
Sumber gambar: http://agift.my/charity-partners/57

Rawatan Autisme
Dari sudut perubatan, masih belum terdapat ubat yang boleh merawat autisme. Kanak-kanak autisme memerlukan rawatan multidisiplin atau terapi yang melibatkan pelbagai pakar dari bidang berbeza. Ini bagi membantu mereka mengatasi masalah yang berkaitan dengan kelewatan perkembangan.
Terapi dapat membantu mereka untuk mendapat kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan mereka mengurus diri, belajar dan berkomunikasi dengan orang lain. Antara terapi yang penting untuk kanak-kanak autisme adalah terapi pertuturan-bahasa dan terapi carakerja.
Sumber: http://jppp.hukm.ukm.my/JPPP%20Bahasa/new_page_4.htm

Terapi Pertuturan-Bahasa
Terapi pertuturan-bahasa diberikan oleh Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) atau Terapis Pertuturan-Bahasa. Terapi ini diberikan kepada kanak-kanak autisme bagi membantu kemahiran bahasa, pertuturan dan komunikasi. Matlamat terapi yang diberikan adalah untuk mengoptimumkan fungsi komunikasi kanak-kanak autisme.
Terapi pertuturan-bahasa bagi kanak-kanak autisme merangkumi:
  • Penilaian bahasa, pertuturan dan komunikasi
  • Terapi bahasa, pertuturan dan komunikasi
  • Penggunaan Komunikasi Augmentatif dan Alternatif
Penilaian bahasa, pertuturan dan komunikasi
Penilaian dijalankan bagi mengetahui tahap kemahiran bahasa, pertuturan dan komunikasi kanak-kanak autisme. Berdasarkan hasil penilaian, Terapis Pertuturan-Bahasa membuat diagnosis kemahiran bahasa, pertuturan dan komunikasi serta berbincang dengan ibu bapa/penjaga mengenai matlamat terapi yang dijalankan.
Terapi bahasa, pertuturan dan komunikasi
Terapi akan dijalankan mengikut matlamat yang telah dibincangkan bersama-sama ibu bapa/penjaga. Antara matlamat terapi yang penting bagi kanak-kanak autisme ialah:
 Penggunaan Komunikasi Augmentatif dan Alternatif (AAC)
Sebahagian besar kanak-kanak autisme memerlukan Komunikasi Augmentatif dan Alternatif (AAC) bagi membantu mereka berkomunikasi dan menyatakan kehendak. Kaedah AAC amat membantu kanak-kanak autisme yang tidak boleh bercakap atau mempunyai pertuturan yang terhad. Antara kaedah AAC yang sering digunakan dalam membantu kanak-kanak autisme adalah komunikasi bergambar atau Picture Exchange Communication System (PECS). (Komunikasi pilihan: Tanpa Bercakap)
Kesimpulan
Kesimpulannya, terapi pertuturan-bahasa yang diberikan kepada kanak-kanak autisme bertujuan untuk memastikan mereka mendapat kemahiran yang sewajarnya bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan individu lain pada tahap yang optimum. Ini boleh mengurangkan ciri-ciri autisme yang terdapat pada kanak-kanak. Kanak-kanak autisme pada tahap ringan berpeluang untuk mencapai tahap perkembangan normal seperti kanak-kanak lain sekiranya mendapat rawatan multidisiplin seawal usia dua (2) hingga tiga (3) tahun. Kanak-kanak autisme pada tahap sederhana dan teruk pula, kebiasaannya adalah sukar untuk mencapai tahap perkembangan normal.
Rujukan
  1. Bee, H. & Boyd, D. (2004). The Developing Child. (10th Ed.). Boston: Pearson.
  2. Gardner, J., Grant, J. & Webb, P. (2001). Autism for All Teachers. WA: KLIK Enterprises.
  3. Janzen, J.E. (1996). Understanding the Nature of Autism. A Practical Guide. Texas: Therapy Skill Builders.
  4. Paul, R. (2001). Language Disorders from Infancy through Adolescence. (2nd Ed.) USA: Mosby.

Sumber - http://www.myhealth.gov.my/

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!