Thursday, December 31, 2015

Program Inklusif - Contoh Kertas Kerja


Pada tahun 2016, pak yoep merancang hendak masukkan seorang murid ppki sekolah pak yoep ke Program Inklusif. Walaupun anak pak yoep tidak diberi peluang untuk berada di program ini, pak yoep nak pastikan murid yang berkemampuan terutamanya boleh 3M, tiada masalah tingkahlaku ketara dan tiada masalah pengurusan diri. Murid yang hendak pak yoep inklusifkan ialah murid autisma yang berumur 8 tahun. Doakan usaha pak yoep ini dapat direalisasikan. Sasarannya agar dapat murid ini menduduki peperiksaan awam seterusnya mencapai keputusan yang terbaik.


KERTAS KERJA CADANGAN PENGWUJUDAN PENDIDIKAN INKLUSIF DI SEKOLAH KEBANGSAAN SAMPIR KOTA MARUDU 2014

Pengenalan
Pendidikan adalah suatu usaha sistematik yang dibuat oleh masyarakat untuk menyampaikan pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya. Ia merupakan satu proses untuk memperkembangkan potensi individu dan perubahan yang berlaku dalam diri manusia. Menurut John Dewey, pendidikan adalah suatu proses pembaharuan makna  pengalaman, hal ini mungkin akan terjadi di dalam pergaulan biasa atau pergaulan orang dewasa dengan orang muda, mungkin pula terjadi secara sengaja dan dilembagakan untuk untuk menghasilkan kesinambungan sosial. Proses ini melibatkan pengawasan dan perkembangan dari orang yang belum dewasa dan kelompok dimana dia hidup.

Pendidikan inklusif merupakan program yang mengintegrasikan murid berkeperluan khas ke dalam sistem persekolahan biasa. Inklusif boleh didefinisikan sebagai proses memasukkan murid secara fizikal dan sosiologikal ke dalam kelas biasa dan diberikan pendidikan mengikut keperluan masing-masing . Tujuan dan objektif utama pendidikan inklusif ini diadakan di Sekolah Kebangsaan Sampir adalah seperti yang berikut:-

  Tujuan pendidikan inklusif adalah untuk :
·         Memberi peluang kepada murid khas untuk menerima pengajaran, pembelajaraan.
·         Menyertai semua aktiviti bersama murid normal.
·         Membantu murid pendidikan khas menyesuaikan diri dari awal lagi dalam semua aspek kemasyarakatan dan menjadikan mereka lebih berupaya, mampu berdikari dan menjadi anggota masyarakat yang menyumbang.

  Objektif Pendidikan Inklusif :
·         Meningkatkan kesedaran murid normal tentang murid berkeperluan khas bahawa mereka juga sebahagian daripada ahli masyarakat.
·         Memberi peluang kepada murid berkeperluan khas utuk menyesuaikan diri dengan rakan sebaya yang normal dan menyertai aktiviti yang disediakan untuk mereka.
·         Memberi pengetahuan dan kemahiran kepada murid khas yang berpotensi supaya dapat meningkatkan konsep kendiri dan berkeyakinan diri mereka.

Latar belakang Pendidikan Inklusif
Pendidikan Inklusif jika dilihat melalui konteks pendidikan khas adalah pendidikan yang diberikan kepada murid-murid dengan keperluan pendidikan khas yang belajar bersama-sama dengan murid-murid normal, di dalam kelas yang sama dan diajar oleh guru biasa.(Haji Sabri Salleh. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan. 1996)

Melalui pendidikan inklusif ini konep pengsealiran antara murid biasa dan murid-murid berkeperluan khas cuba diwujudkan. Matlamatnya ialah memberi peluang kepada murid-murid tersebut menerima pengajaran, pembelajaran dan menyertai semua aktiviti-aktiviti yang terdapat di sekolah bersama-sama pelajar normal. Matlamat selanjutnya supaya murid-murid berkepeluan khas dapat menyesuaikan diri dari awal-awal lagi dalam semua aspek kemasyarakatan yang terdapat di sekolah dan di dalam komuniti setempat dengan tujuan menjadikan mereka lebih berupaya mampu berdikari dan menjadi anggota masyarakat yang menyumbang.(Mohd Siraj Awang. 1996)

Jika dilihat sejarah pendidikan di negara kita, pendidikan inklusif bukanlah satu perkara baru di Malaysia. Yang baru hanyalah istilahnya, dan istilah inilah yang telah mengelirukan kita semua. Pada masa dahulu istilah "Program Percantuman’ atau ‘Integrated’ telah digunakan. Negara Malaysia telahpun mengamalkannya sejak 1962 lagi (Norani, 1980)

Matlamat utama pendidikan inklusif ialah untuk mengsealirankan murid-murid berkeperluan khas dengan murid-murid normal di sekolah biasa. Harus diingatkan di sini tidak semestinya semua murid berkeperluan khas boleh disealirankan begitu sahaja kerana setiap individu mempunyai kemampuan dan keperluan yang berbeza. Deno (1970), telah menghasilkan sebuah model tahap perkhidmatan pendidikan khas yang berupaya menampung tujuh pilihan yang berupa satu "Cascade" untuk menempatkan murid-murid seperti yang dicadangkan.

Polisi Pendidikan Murid Berkeperluan Khas di Malaysia
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa pendidikan inklusif ini sememangnya sangat disokong dan diberi perhatian yang lebih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Ini dapat dilihat dalam beberapa akta ataupun dasar. Contohnya dalam Akta Pelajaran 1961 dalam Bahagian 1 ( tafsiran) ada dinyatakan bahawa sekolah khas bermakna sekolah yang menyediakan layanan yang khas untuk kanak-kanak kurang upaya. Seterusnya dalam Laporan Jawatakuasa Kabinet (1978) mengkaji dasar perlaksanaan pelajaran melalui Perakuan 169 merupakan satu titik tolak yang membawa kepada satu penekanan dan tumpuan yang jelas kepada perkembangan pendidikan khas di Malaysia.

Malahan Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 16/2002 yang berkaitan dengan tempoh belajar bagi murid yang berkeperluan khas di Malaysia. Surat pekeliling ini sesungguhnya telah mengiktiraf pendidikan inklusif ini dijalankan baik di sekolah rendah ataupun sekolah menengah.

Selain daripada itu, kementerian-kementerian tertentu juga mempunyai peranan masing-masing dalam mengesan kanak-kanak yang berkeperluan khas.

v  Kementerian Pelajaran bertanggungjawab terhadap pendidikan kanak-kanak yang menghadapi masalah pendengaran, penglihatan dan pembelajaran (terancat akal) yang boleh dididik.
v  Kementerian Kesihatan pula bertanggungjawab untuk mengenalpasti di peringkat awal dan seterusnya menyaring kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan yang berisiko
v  Kementerian Kebajikan Masyarakat pula bertanggungjawab dalam member bantuan dan sokongan kepada kanak-kanak yang kurang upaya fizikal, terancat akal sederhana dan teruk serta kanak-kanak spastic.

Pada masa yang sama juga, Deklarasi Hak-Hak Kemanusiaan Sejagat ( 1948) turut  meliputi hak bagi setiap individu mendapat pendidikan yang menekankan  keperluan –keperluan pembelajaran termasuk untuk orang kurang upaya. Langkah langkah perlu diambil untuk menyediakan persamaan akses kepada pendidikan untuk semua kategori orang kurang upaya sebagai bahagian yang sepadu dalam system pendidikan.

Kemudian pada tahun 1959 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan Hak Kanak-Kanak Sedunia di mana mereka berhak mendapat penjagaan yang khusus dan bimbingan mengikut kecacatan yang dialami serta peluang menjadi kanak-kanak normal.

Berdasarkan kepada perkara-perkara yang terdapat dalam akta dan dasar yang dihuraikan di atas, dapat kita simpulkan disini bahawa sememangnya baik kerajaan Malaysia ataupun pihak antarabangsa, begitu menekankan pendidikan inklusif ini. Oleh itu, tidak salah jika ia turut dimulakan di Sekolah Kebangsaan Sampir, Kota Marudu.

Murid Berkeperluan Khas di Sekolah Kebangsaan Sampir Kota Marudu
Orang Kurang Upaya (OKU) ataupun orang istimewa ini boleh didefinisikan sebagai individu yang sememangnya tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperolehi samada sepenuhnya atau sebahagian daripada keperluan biasa seseorang individu yang normal dan ia juga tidak dapat hidup bermasyarakat sama ada dari segi fizikal atau mental. Mereka ini dilahirkan dengan keadaan lahiriah, fikiran dan perasaan yang luarbiasa. Dengan kata lain mereka ini mempunyai tingkah laku tersendiri mengikut jenis keluarbiasaan atau kecacatan yang dialami. Pertumbuhan dan perkembangan mental dan fizikal golongan orang kurang upaya ini jauh lebih kurang ataupun kurang berbanding orang biasa.

ELVEROON YOTONG
9 Tahun / Lelaki
Kg. Sampir, Kota Marudu
Rungus
Sindrom Diskalkulia




PIANEE MABAAS
9 Tahun / Perempuan
Kg. Sampir Darat Kota Marudu
Rungus
Sindrom Diskalkulia

Kedua-dua murid ini mengalami masalah ingatan yang teruk. Menurut laporan daripada guru-guru yang mengajar kedua-dua murid ini, pada suatu ketika murid ini mampu membaca nombor 1 hingga 10. Setelah ditinggalkan beberapa minit, apabila diminta membaca semula nombor tersebut, murid tersebut mengalami masalah untuk mengingatnya. Sindrom ini dikenali sebagai Diskalkulia. Ramai pakar berpendapat, individu yang mengalami masalah seperti ini, boleh dibantu dengan memberikan tumpuan khusus kepada mereka. Program pendidikan inklusif yang akan diadakan boleh membantu kedua-dua murid ini.

Kekuatan Untuk Melaksanakan Pendidikan Inklusif di SK Sampir, Kota Marudu
Pengwujudan pendidikan inklusif di SK Sampir, Kota Marudu bukan sekadar memenuhi saranan Kementerian Pelajaran Malaysia ataupun badan pendidikan antarabangsa. Ini dilakukan atas kesedaran bahawa sekolah ini mampu melaksanakan. Sekolah ini mempunyai kelas lebihan yang tidak digunakan. Selain daripada itu, sekolah ini juga mempunyai beberapa orang guru yang mempunyai kepakaran dalam menjalankan pendidikan inklusif.

Pengurusan
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa pengurusan di Sekolah Kebangsaan Sampir Kota Marudu sememangnya telah diakui oleh banyak pihak. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran pelajar-pelajar Universiti Malaysia Sabah ke sekolah ini pada tahun 2011. Ini adalah kerana mereka ingin melihat sendiri keberkesanan pentadbiran yang dijalankan di sini. Selain itu, dalam beberapa pemantauan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Kota Marudu ke sekolah ini pada tahun 2013, didapati sekolah ini mempunyai kualiti dari aspek pengurusan. Oleh yang demikian, berdasarkan scenario ini, bukan menjadi satu halangan jika pendidikan inklusif ini dijalankan kerana dengan pengurusan yang baik sudah tentu pendidikan inklusif ini boleh berjaya. Selain itu, hubungan antara sekolah dengan komunti ibubapa juga amat baik. Hubungan yang baik ini sangat membantu jika pihak pengurusan meminta bantuan daru aspek tenaga ataupun kewangan.

Kemudahan Fizikal
Sebagaimana yang dinyatakan di atas, sekolah ini mempunyai kemudahan fizikal untuk melaksanakan pendidikan inklusif. Ini kerana terdapat lebihan bangunan yang tidak digunakan lagi dan ianya begitu sesuai untuk dijadikan kelas pendidikan inklusif. Bangunan tersebut telah diperiksa dan mendapati bahawa bangunan tersebut masih selamat digunakan. Bangunan ini sebenarnya baru dikosongkan kira-kira 3 bulan yang lalu. Sebelum ini, bangunan ini merupakan bangunan bagi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) sekolah.

Tenaga Pengajar
Untuk menjadi guru pendidikan inklusif ini bukanlah satu perkara yang mudah. Ianya memerlukan kualiti daripada seorang guru. Menurut Atan Long (1992) dalam buku beliau yang bertajuk  “Mengurus Tingkah Laku Pelajar” , terdapat beberapa ciri menjadi guru yang baik iaitu emosi dan mental yang stabil dan sihat, dipercayai, sering memberi kerjasama, kesihatan yang baik, kecerdasan otak dan tingkahlaku yang sopan dan menyenangkan. Kesantunan dan kepedulian adalah ciri-ciri guru yang baik malah ia adalah perkara-perkara yang terkandung di bawah etika guru.

Sekolah Kebangsaan Sampir, Kota Marudu bertuah kerana sekolah ini mempunyai guru yang memiliki cirri-ciri sebagimana di atas. Beliau bukan sahaja mempunyai kualiti yang tersendiri, tetapi yang paling penting adalah kerelaan beliau sendiri untuk menjadi guru pendidikan inklusif. Cikgu Jahari Salihun yang kini mengajar kelas pemulihan sememangnya mempunyai pengalaman yang luas, di mana beliau telah mengajar selama 10 tahun. Dalam tempoh tersebut, beliau telah berjaya mendapat banyak pengiktirafan. Contoh anugerah guru cemerlang ( 0% murid Protim). Beliau telah berjaya mendidik murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran sehinggakan pada masa kini di sekolah ini tidak mempunyai murid yang tidak pandai mengira ataupun menulis kecuali murid-murid yang mempunyai masalah khusus. Selain daripada itu, beliau juga pernah mengikuti kursus singkat mengenai pendidikan khas ini.

Sokongan Luar
Dalam usaha untuk mempastikan pengwujudan pendidkan inklusif di sekolah ini menjadi kenyataan, pelbagai usaha telah diambil. Salah satu usaha tersebut adalah mencari badan-badan NGO yang dapat memberi bantuan dari aspek kewangan, pengalaman, motivasi dan sebagainya. Kerjasama yang wujud ini amat diperlukan bagi memastikan pendidikan inklusif ini mencapai sasaran yang diinginkan. Oleh itu, pihak Jawatankuasa Pendidikan Inklusif sekolah telah menghantar surat kepada beberapa pihak seperti Persatuan Kanak-kanak Spastik (Spastic Children’s Assocation), Pusat Bimbingan Sinaran Matahari, Pusat Harian Kanak-Kanak Istimewa, Yayasan Sindrom Down Kiwanis (Kiwanis Down Syndrome Foundation) dan Pacos Trust. Usaha murni ini juga telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan daerah Kota Marudu. Mereka telah memberikan respond yang sangat baik.

Kesimpulan
Diharapkan pendidikan inklusif ini dapat disegerakan pengwujudannya di sekolah ini memandangkan terdapat beberapa murid-murid yang memerlukannya. Proses pembelajaran murid-murid ini di sekolah harian biasa tidak berjalan dengan lancar disebabkan murid-murid ini perlukan perhatian yang khusus. Factor pengurusan yang baik, factor fizikal, sumber tenaga manusia dan sokongan daripada badan NGO sebagaimana yang dinyatakan di atas member kekuatan untuk menubuhkan pendidikan inklusif di sekolah ini.

RUJUKAN
1.      Bahagian Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia. (2006-2010) Dokumen Standard Kurikulum Standard Prasekolah Pendidikan Khas Kebangsaan (Masalah Pembelajaran) Putera Jaya, Kementerian Pelajaran Malaysia.

2.      Jamila K.A.Mohamed (2005): Pendidikan khas untuk kanak-kanak istimewa. Jamil K.A Mohamed. Kuala Lumpur:  PTS Professional.

3.      Yusop, B. H. M., & Walter Alvin, J. (2010). Disgrafia dan Cara Membantu: Kajian Kes ke atas Murid Program Integrasi Pendidikan Khas . Jurnal Penyelidikan Tindakan IPG KBL (4):1-22


4.      Zainal Abidin Osman. 2003. Penglibatan ibu bapa dalam program Pendidikan Khas
kanak-kanak bermasalah Pembelajaran. Tesis Sarjana. Universiti Kebangsaan
Malaysia

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!