Thursday, January 28, 2016

Permata Kurnia di Tempat Anda

DATIN Seri Rosmah Mansor beramah mesra bersama kanak-kanak autisme ketika lawatannya bagi melihat perjalanan program di Pusat PERMATA Kurnia, Sentul. Turut sama, Perunding Kanan Program PERMATA, Tan Sri Profesor Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (berdiri kanan).- Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Penaung Program Permata Datin Seri Rosmah Mansor berkata pihaknya berhasrat membina lebih banyak pusat Permata Kurnia di seluruh negara bagi menyediakan program prasekolah untuk kanak-kanak autisme.
Isteri Perdana Menteri itu berkata, ketika ini hanya pusat PERMATA Kurnia di Sentul yang memulakan operasi pada 3 November lalu menyediakan program prasekolah untuk kanak-kanak autisme berusia antara empat hingga tujuh tahun.
"Permata sememangnya ingin menambah bilangan pusat seperti ini di seluruh negara bagi membantu dan memberikan pendidikan buat kanak-kanak autisme, namun ia masih lagi dalam rangka perancangan sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa melawat pusat autisme pertama negara 'PERMATA Kurnia' di Sentul bagi meninjau perjalanan program yang disediakan kepada 241 kanak-kanak autisme.
Semasa lawatan dua jam itu, Rosmah turut mendengar penerangan dan pengalaman ibu bapa mengenai anak-anak mereka yang mengikuti pendidikan awal di pusat itu.
"Pusat Permata Kurnia ini adalah projek perintis bagi mengenal pasti masalah yang timbul dan penambahbaikan dalam program yang disediakan," kata Rosmah.
Sementara itu, pegawai bank, Rushidan Mansor, 46, yang menghantar anak perempuannya berusia empat tahun ke pusat itu bersyukur kerana anaknya kini menunjukkan perkembangan positif selepas beberapa minggu menghadiri sesi persekolahan di PERMATA Kurnia.
"Minggu pertama mengikuti program di sini, anak saya menunjukkan respons positif seperti hubungan mata, mula bermain bersama adiknya malah kini saya boleh bawa dia berjalan-jalan malah anak saya mampu makan sendiri seperti kanak-kanak normal lain," katanya.
Ibu kepada dua anak autisme, Hazawani Halin turut bersyukur kerana anak-anaknya menunjukkan perkembangan positif selepas mengikuti program pendidikan di pusat itu.
"Program yang ditawarkan pusat PERMATA Kurnia berjaya walaupun hanya beberapa bulan dibuka," kata wanita berusia 30 tahun itu. - BERNAMA

Sumber - http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!