Friday, March 24, 2017

Autisme -Apa tindakan anda?


Autisme - Apakah ia dan apa anda boleh buat?


PUAN Hana mengalirkan air mata. Dia baru sahaja diberitahu yang Hafiz, anak lelakinya yang berusia 2 tahun adalah autistik.
Dia telah membawanya ke sebuah klinik untuk pemeriksaan perubatan yang biasa, dan doktor mendapati bahawa Hafiz terlampau aktif dan kurang membuat hubungan mata.
Doktor itu kemudian mengatakan bahawa Hafiz mungkin autistik dan tiada apa yang boleh dilakukan untuk membantunya. Bila Hana mendengar ini, seolah-olah seluruh dunia telah runtuh.
Salah faham umum mengenai autisme ialah orang seolah-olah mencari satu atau dua gejala sahaja dan terburu-buru membuat diagnosis.
Apa yang mereka gagal fahami adalah autisme merupakan satu sindrom yang terbentuk oleh banyak simptom. Oleh itu, satu simptom tidak bererti bahawa seseorang itu autistik.
Bila membuat diagnosis mengenai autisme, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan.
Komunikasi tidak normal
Ramai kanak-kanak autistik gagal menggunakan pertuturan untuk menyampaikan maksud kepada orang lain.
Seperkara lagi, seolah-olah tiada banyak perasaan atau interaksi sosial dalam penggunaan bahasa mereka.
Mereka juga sering mengulangi ungkapan-ungkapan yang mereka telah dengar dalam cara yang literal. Ini dinamakan echolalia.
Perkembangan sosial tidak normal
Kanak-kanak dengan autisme selalunya menghadapi kesukaran untuk berhubung dengan orang sejak dari awal kehidupan.
Mereka lebih suka menyendiri dan menyepi, menghabiskan banyak masa di dalam dunia mereka sendiri.
Walaupun bila ada kanak-kanak lain di sekeliling, kanak-kanak autistik tidak pernah memulakan sebarang bentuk interaksi sosial.
Interaksi secara sosial amat berkurangan di antara kanak-kanak autistik dengan ibu bapa mereka. Pada usia yang amat muda, kanak-kanak autistik sering kali seolah-olah tidak mahu didukung.
Mereka selalu mengelakkan pertentangan mata, dan bergelut bila penjaga cuba membuat perhubungan mata.
Dalam banyak kes, anak autistik cenderung untuk menggunakan ibu bapa mereka bagi tujuan-tujuan fungsi.
Tingkah laku ritualistik dan stereotaip serta keengganan untuk berubah
Kanak-kanak autistik kelihatan tertarik dengan kebisingan dan objek yang bergerak secara berulang-ulang.
Mereka mampu duduk dalam sesuatu kedudukan untuk jangka masa yang lama sama ada mendengar bunyi tertentu berkali-kali atau malah melakukan tindakan yang sama berulang-ulang.
Sebagai contoh, sesetengah kanak-kanak mungkin tertarik dengan bunyi telefon mainan, atau papan kekunci elektronik atau barangkali mengetuk lantai dengan sesuatu objek untuk membuat bunyi.
Di mana yang berkaitan dengan objek, sesetengah kanak-kanak autisme boleh menghabiskan masa berjam-jam memutar roda kereta mainan, atau memutar blok kayu secara berterusan.
Jika diganggu, kanak-kanak ini mempamerkan tingkah laku yang resah, dan mungkin melolong atau menjerit dan cuba menghalang objek itu daripada dibawa pergi.
Semua ibu bapa mempunyai banyak harapan dan aspirasi untuk anak-anak mereka.
Bila mereka mula mendengar bahawa anak mereka mempunyai autisme, mereka sering keliru, mungkin menafikannya, dan melalui satu tempoh kejutan.
Dalam proses ini, mereka berasa susah hati dan murung, kesunyian, dan rasa bersalah. Semua ibu bapa berharap bahawa anak mereka akan menjadi normal satu hari nanti.
Berada dalam keadaan tertanya-tanya dan tidak jelas mengenai kedudukan, mereka bimbangkan masa hadapan anak mereka.
Mereka bimbang anak mereka akan bergantung hidup pada orang lain, dan sering bimbang mengenai siapa yang akan menjaga anak itu bila mereka tiada lagi.
Dalam usaha mencari penyebab dan penyembuh untuk anak-anak, mereka akan mencari setiap bentuk rawatan konvensional dan alternatif.
Malangnya, dalam keadaan terdesak ibu bapa hendak mencari penyembuh, mereka mungkin ditipu oleh pengamal perubatan palsu.
Belum ada sesiapa pun yang dapat menemui apa yang menyebabkan autisme. Banyak teori telah dimajukan untuk menjawab soalan ini. Ini termasuk genetik, penyakit ibu bapa dan keradangan otak.
Apa yang kita tahu ialah autisme cenderung untuk menjejaskan empat kali ganda anak lelaki berbanding anak perempuan.
Autisme tidak boleh disembuhkan, namun banyak yang boleh dilakukan oleh ibu bapa, dengan kaedah berbeza yang sesuai dengan individu anak itu.
Terdapat banyak pendekatan pendidikan dan terapi - yang paling biasa ialah perubahan dietari, rawatan ubat atau pengurusan tingkah laku.
Kaedah-kaedah ini mengambil masa dan meletihkan ibu bapa, namun usaha itu berguna bila anak anda memberi respons terhadapnya.
Bertenang! Dunia belum berakhir, anak-anak autistik boleh dilatih.
Ibu bapa perlu mengukuhkan kekuatan diri, berfikiran secara positif dan mula membantu anak-anak mereka menjalani pembelajaran agar dapat bertahan dengan kehidupan.
Diagnosis perlu diperiksa dengan teliti
Autisme adalah masalah yang cenderung untuk disalah diagnosis.
Masalah paling lazim di mana kekeliruan muncul ialah di dalam gangguan pertuturan dan bahasa. Dalam situasi ini, penilaian yang betul ke atas anak itu adalah penting.
Lazimnya, ujian-ujian akan termasuk skala peringkat pembesaran (iaitu komunikasi, kemahiran sosial dan motor), kemampuan mental dan tingkah laku.
Skala ini memberi petunjuk tentang berapa jauh perbezaan anak itu daripada kanak-kanak lain. Selalunya, ujian klinikal ini dijalankan oleh Pakar Psikologi Pembangunan dan Klinikal.
Mengenal pasti kemahiran yang anak anda perlu belajar
Membantu seseorang anak autisme bukanlah bererti memberi mereka pil, dan melihat keajaiban berlaku pada keesokan hari.
Hakikatnya, bantuan diberi dengan mengajar anak itu kemahiran-kemahiran untuk menghadapi kehidupan sehari-hari.
Kemahiran ini biasanya bermula dengan pertuturan dan bahasa, disusuli oleh sebilangan kemahiran kehidupan harian yang dilakukan mengikut keperluan perseorangan.
Di mana yang anak itu mampu, beberapa pengajaran diberi dalam bidang pembacaan awal, menulis dan matematik.
Cara terbaik untuk mengenal pasti kemahiran-kemahiran yang perlu diajar ialah melalui satu sistem penilaian peringkat kemajuan anak itu.
Selalunya, program untuk memberi bantuan kepada anak-anak autistik termasuk bantuan pakar terapi pertuturan, pakar terapi pekerjaan, pakar psikiatri dan pakar psikologi.
Setiap profesional mempunyai peranan penting untuk dimainkan dalam pembangunan anak itu.
Terdapat juga beberapa program yang dibangunkan khusus untuk kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku sukar, dan kurang kemajuan.
Program-program ini biasanya disediakan menerusi pusat Program Campur Tangan Awal (Early Intervention Programme centres).
Berhubung dengan ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeadaan serupa
Tidak ada yang dapat menandingi kehadiran seseorang yang memahami untuk diajak berbual.
Memang sering dinasihatkan supaya ibu bapa dengan anak-anak autistik mendapatkan sokongan daripada ibu bapa lain yang mempunyai anak-anak autistik.
Ini boleh dilakukan menerusi perhubungan dengan persatuan-persatuan seperti NASOM, PR4 atau Malaysian CARE.
Dalam saat kegelapan, suara simpati yang memahami, dan menawarkan nasihat memang mententeramkan ibu bapa yang cuba berhadapan dengan anak autistik mereka.
* Dr. Teoh Hsien-Jin ialah Pakar Psikologi Klinikal Perunding dengan Jabatan Psikologi, Kolej Universiti Sunway.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_05.htm#ixzz4c5386NZm 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!