Saturday, April 15, 2017

Autisme - Tawaran belajar ke IKBN

Khairy Jamaluddin

PETALING JAYA - Kementerian Belia dan Sukan dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) bercadang mewujudkan program perintis  untuk belia autisme di  Institut Kemahiran Belia Malaysia  (IKBN).

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata secara dasarnya beliau bersetuju untuk mewujudkan program perintis itu terutamanya untuk membantu golongan belia autisme yang tamat persekolahan di peringkat menengah melanjutkan pengajian.

"Saya telah cadangkan kepada NASOM supaya dapat bekerjasama dalam mewujudkan program perintis berkenaan pendidikan serta kemahiran khususnya untuk belia autisme di IKBN.

"Bagaimanapun ini, perkara ini baru di peringkat cadangan, maklumat lanjut tentang program perintis itu akan dibincangkan secara terperinci selepas ini,\" katanya kepada pemberita selepas menyertai program jalan amal The Rock Walk 2017; iaitu kempen kesedaran autisme  di Evolve Concept Mall, Ara Damansara, di sini, hari ini.Katanya, usaha tersebut adalah untuk memastikan remaja autisme tetap melanjutkan pengajian mereka dalam bidang kemahiran tertentu selepas tamat persekolahan.

Khairy, yang mempunyai seorang anak autisme berumur sembilan tahun, percaya ibu bapa yang mempunyai anak autisme pasti mahukan pendidikan terbaik diberikan kepada anak-anak mereka.

"Sekarang ini dalam kalangan masyarakat autisme selain mendapat pendidikan awal di peringkat sekolah rendah dan menengah, saya lihat ada satu keperluan untuk melanjutkan pendidikan mereka dalam program kemahiran.

"Ramai ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme termasuk diri saya yang mahukan anak-anak dapat melanjutkan pelajaran atau mendapat kemahiran selepas tamat persekolahan,\" katanya.

Sementara itu, Presiden NASOM, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahrudin berharap projek perintis itu dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi memastikan belia austisme tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan.

Katanya, setakat ini jumlah kanak-kanak serta belia yang berdaftar dengan persatuan  mencecah 700 orang dan persatuan itu mempunyai 21 pusat untuk golongan autisme di seluruh negara.

"Sekiranya program ini dapat dilaksanakan, ia adalah program pendidikan khas untuk golongan belia autisme yang pertama kali dijalankan dalam negara ini. Kita perlukan kerjasama ini kerana pihak persatuan tidak mampu menampung perbelanjaan semakin tinggi.

"Setiap tahun persatuan perlu berbelanja RM7 juta bagi menguruskan 21 pusat itu, kami juga perlu mencari dana tambahan. Jika bergantung kepada yuran semata-mata ia tidak mencukupi. Saya gembira apabila menteri (Khairy)  bersedia bekerjasama dengan NASOM mengenai perkara ini,\" katanya.  –Bernama

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!